KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah kepada ladang solar-ternakan ayam pertama di Malaysia menerusi projek hibrid bernilai RM800 juta di atas tanah seluas 500 ekar di Nabawan.
Projek ini hasil kerjasama antara Koperasi Star Sabah Berhad dan High Power New Energy Sdn Bhd, menggabungkan ladang ayam berskala besar dengan loji janakuasa solar 150MW serta sistem simpanan tenaga (BESS).
Dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan pada Khamis, projek ini disifatkan sebagai model pembangunan mampan luar bandar, yang menyasarkan penyelesaian isu bekalan elektrik serta pengukuhan sekuriti makanan di Sabah.
“Loji solar dijangka beroperasi dalam dua tahun, membekalkan tenaga kepada kawasan pedalaman seperti Nabawan, Tambunan dan Sook, manakala ladang ayam akan membantu menampung permintaan domestik sebanyak 1 juta ayam sehari.
“Projek ini juga bakal mencipta ratusan peluang pekerjaan serta membangunkan infrastruktur penting seperti perumahan, pengangkutan dan pendidikan.
“Komuniti tempatan akan dilibatkan dalam pengeluaran makanan ternakan serta program pembangunan modal insan dan belia.
“Sebanyak 10 peratus keuntungan bersih syarikat akan disumbang kepada tabung amanah untuk pembangunan infrastruktur dan komuniti, manakala Koperasi Star Sabah akan menubuhkan tabung pendidikan untuk kawasan pedalaman,” katanya.
Dr. Jeffrey menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan dan penduduk tempatan untuk bekerjasama menjayakan projek ini sebagai model baharu pembangunan Sabah.