Advertisement

Wanita Maut, Remaja Parah, Perodua Alza Dinaiki Rempuh Belakang Bas Persiaran di Jalan Sulaman – Sabah News

TUARAN: Seorang wanita dilaporkan maut akibat tersepit selepas terlibat kemalangan babit Perodua Alza yang dinaiki merempuh belakang Bas Persiaran di Jalan Sulaman Gayang di sini, pada petang kelmarin.

Manakala, seorang lagi remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan turut mengalami cedera parah yang juga tersepit dalam kemalangan tersebut dan telah dikejarkan ke hospital. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.41 petang.

Katanya, seramai lapan anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer.

“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan kereta jenis Perodua Alza terbabas lalu merempuh belakang Bas Persiaran Pelancong yang berada ditepi jalan.

“Terdapat dua mangsa terlibat (Perodua Alza) tersepit telah berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba yang mana mangsa lelaki mengalami kecederaan dan di hantar ke hospital oleh KKM.

“Manakala seorang lagi mangsa wanita, 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan untuk memastikan tiada lagi bahaya yang lain wujud seterusnya operasi di tamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 petang.