Advertisement

AirAsia Travel Fair di KK Bakal Merancakkan Permintaan Pelancongan ke Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Sebahagian daripada usaha berterusan untuk merancakkan permintaan pelancongan ke negeri ini serta menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab pelancongan utama di rantau ini, AirAsia akan menganjurkan AirAsia Travel Fair (AATF) di Pusat Beli-Belah Suria Sabah pada hari ini dan esok.

AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan AATF ini juga menawarkan promosi eksklusif termasuk diskaun 30 peratus untuk semua tempat duduk bagi semua penerbangan ‘Bundle Pack’ dengan diskaun 50 peratus untuk bagasi serta 30 peratus untuk pemilihan tempat duduk dan tawaran perkhidmatan Fly-Thru ke lebih 130 destinasi di seluruh rangkaian luas syarikat penerbangan ini.

“AATF bukan sahaja menggalakkan sektor pelancongan bagi para pengembara dari Sabah, malah turut menyokong pelancongan dalam negeri selaras dengan sasaran kerajaan negeri untuk menarik 3.5 juta pelancong pada tahun ini. 

“Kota Kinabalu terus berkembang sebagai hab penting di mana AirAsia menawarkan penerbangan terus ke bandar-bandar utama dalam negara serta destinasi antarabangsa seperti Seoul, Manila, Ho Chi Minh City, Taipei, Hong Kong, Shanghai dan beberapa lagi bandar di China,” katanya di sini, semalam.

Dengan 21  rangkaian terus dari Kota Kinabalu ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa, termasuk laluan terbaharu ke Ho Chi Minh City, Vietnam dan Shanghai, China, AATF 2025 menawarkan lebih banyak pilihan dan penjimatan hebat kepada para pengembara di Sabah.

Pengunjung juga boleh menantikan pakej percutian menarik daripada Ikhlas, Tune Protect, dan Santan, selain pelbagai aktiviti, hadiah percuma dan cabutan bertuah sepanjang AATF berlangsung.