KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki ditemui penduduk tempatan di hadapan sebuah rumah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya pada kira-kira jam 5.30 pagi, kelmarin
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, Balai Polis Pulau Gaya menerima maklumat daripada Ketua Kampung Lok Urai berhubung penemuan seorang bayi di hadapan sebuah rumah di kampung tersebut.
Bertindak atas maklumat tersebut katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Gaya telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.
“Hasil siasatan mendapati, pada jam lebih kurang 5.30 pagi, seorang lelaki tempatan telah menemui sebuah beg berwarna hijau berisi seorang bayi lelaki yang dibaluti kain batik, diletakkan di hadapan tangga rumahnya di kampung itu.
“Orang awam tersebut telah membawa bayi ke beranda rumah, kemudian menghubungi Ketua Kampung bagi memaklumkan kejadian.
“Bayi tersebut kemudiannya telah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.
“Tindakan susulan turut diambil dengan merujuk kes ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penempatan bayi di rumah perlindungan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan pihak polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.
Dalam pada itu, Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk kampung yang segera melaporkan kejadian ini, serta mengingatkan bahawa pembuangan bayi adalah satu kesalahan jenayah yang serius dan tidak berperikemanusiaan.
“PDRM menyeru masyarakat agar sentiasa peka dan prihatin terhadap sebarang kejadian yang mencurigakan di persekitaran masing-masing, dan segera melaporkannya kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara,” tegasnya.