Advertisement

KTC Utamakan Keselamatan Makanan, Lupus Produk Roti Bernilai RM300,000 Susulan Gangguan Bekalan Gas – Sabah News

KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) telah mengambil langkah tegas demi mengutamakan keselamatan makanan berikutan gangguan bekalan gas oleh Sabah Energy Corporation di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), malam tadi.

Gangguan tersebut menyebabkan tekanan gas tidak stabil yang telah menjejaskan dan merosakkan mesin utama di kilang mereka. 

Akibatnya, KTC terpaksa melupuskan produk roti yang dianggarkan bernilai RM300,000.

Meskipun KTC dimaklumkan bahawa produk makanan yang terjejas itu mungkin masih selamat untuk dimakan, syarikat tersebut tetap memilih untuk tidak mengambil risiko dan melaksanakan pelupusan menyeluruh.

“Arahan ini dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif kami, Datuk Dexter Lau, untuk memastikan tiada produk yang berpotensi tidak selamat sampai ke tangan pengguna,” kata Normala Othman, Pengurus Besar Gardenia Bakeries (East Malaysia).

“Keselamatan pengguna adalah keutamaan kami. Kami sedar keputusan ini memberi impak besar terhadap operasi perniagaan, namun ia adalah langkah yang perlu demi mengekalkan komitmen kami terhadap kualiti dan keselamatan,” tambah beliau.

KTC telah memutuskan untuk melupuskan semua produk serta bahan mentah yang terjejas dan akan memulakan semula pengeluaran dari awal bagi memastikan piawaian tertinggi dikekalkan.

“Kami memohon jasa baik para pengguna setia untuk memahami situasi ini.

“Kami menjangkakan operasi dan bekalan akan disambung semula dalam tempoh dua hari dan sedang berusaha keras menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” ujar Normala.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan makanan sentiasa menjadi keutamaan di KTC, dan apa jua produk yang dikeluarkan di bawah jenama mereka akan menepati standard keselamatan tertinggi.

“Sebarang produk yang dilihat datang daripada KTC boleh diyakini selamat dan berkualiti tinggi,” katanya.