Advertisement

GRS Platform Terbaik Memperkukuh Suara Tempatan, Wajar Jadi Teras Kepimpinan Sabah – Julita – Sabah News

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa parti-parti tempatan perlu menjadi tunjang kepimpinan kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), agar hala tuju Sabah ditentukan berdasarkan aspirasi rakyatnya sendiri.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata parti tempatan mempunyai kelebihan kerana lebih memahami realiti dan keperluan masyarakat Sabah yang berbilang kaum, unik dari segi geografi dan kaya dengan budaya.

“Parti tempatan lahir daripada akar umbi rakyat Sabah. Kepimpinan yang dekat dengan denyut nadi masyarakat membolehkan dasar yang digubal benar-benar menyentuh keperluan rakyat.

“Ini penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan antara kekuatan parti tempatan termasuk keupayaan merancang pembangunan mengikut konteks Sabah, kepekaan terhadap isu seperti hak adat dan pemilikan tanah, serta keupayaan membuat keputusan lebih cepat tanpa terlalu bergantung pada pihak luar.

“Pemimpin tempatan lebih memahami cabaran sebenar rakyat Sabah dan mampu merangka penyelesaian yang realistik serta berkesan.

“Parti-parti tempatan bukan sahaja cekap mentadbir, tetapi juga berupaya memacu negeri ke arah masa depan yang lebih progresif dan mampan,” tambahnya.

PBS turut menyokong kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bahawa parti-parti tempatan perlu menjadi teras kerajaan negeri, termasuk jika perlu bertanding secara solo dalam PRN17.

Julita menyifatkan GRS sebagai platform paling mantap dan terbukti dalam memperjuangkan suara rakyat Sabah.

“Kenyataan Pengerusi GRS adalah satu pengiktirafan terhadap kekuatan dan peranan penting parti-parti tempatan.

“PBS menyambut baik seruan ini dan akan terus komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerajaan negeri yang stabil, bersatu dan berorientasikan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah, khususnya generasi muda dan masyarakat luar bandar, agar menjadikan PRN17 sebagai peluang untuk memilih pemimpin yang benar-benar memahami dan membela nasib mereka.

“Parti tempatan bukan sekadar pilihan, ia satu keperluan untuk menjamin masa depan negeri yang adil, makmur dan berdaulat. Dan bagi kami, GRS adalah wadah terbaik ke arah itu,” katanya.