Advertisement

Sabah Eksport Kontena Pertama Nenas MD2 ke Singapura – Sabah News

KOTA KINABALU: Sabah menghantar kontena pertama nenas MD2 ke Singapura hari ini, sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam industri pertanian negeri.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.

“Ini merupakan perkembangan yang sangat menggembirakan bagi industri nenas MD2 dari Sabah kerana telah berjaya memasuki pasaran Singapura,” kata beliau dalam ucapannya.

Menurut Jeffrey, kejayaan itu adalah hasil usaha syarikat Aqina Borneo Sdn. Bhd., yang telah mengusahakan penanaman nenas MD2 secara komersial di tanah seluas 400 ekar di Lingkungan, Beaufort sejak Februari 2021.

Setakat ini, 123 ekar telah ditanam dan menyediakan pekerjaan kepada 30 penduduk setempat.

Beliau turut memuji penglibatan komuniti melalui Program Agro Komuniti B40.

“Satu yang istimewa di bawah program ini ialah pihak Aqina mengajar para peserta kontrak mengenai teknik penanaman dan pengurusan ladang nalenas di samping dokumentasi rekod ladang, perakaunan, pemasaran dan aspek-aspek lain berkaitan.

“Hari ini merupakan satu perkara yang bersejarah di mana syarikat ini mula mengeksport satu kontena nenas untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Peluasan dan pengembangan pasaran ke pasaran eksport akan membuka lembaran baharu dalam industri penanaman nanas MD2 di Sabah,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Aqina Borneo dan berharap projek ini akan terus diperluas ke kawasan lain di Sabah untuk memperkukuh bekalan makanan negeri dan pendapatan rakyat.