PUTATAN: Seorang pekerja Sabah Electricity yang sebelum ini dilaporkan hilang semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan pencawang di Rimba Hill Lok Kawi, Putatan, telah ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi.
Mangsa, Aszaman Salleh, 48 tahun, ditemui pada jam 9.56 pagi kira-kira 265 meter dari lokasi asal kerja-kerja pembersihan berhampiran Menara 11.
Menurut mangsa, beliau tergelincir dan jatuh semasa menjalankan tugas.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kedua bermula seawal jam 6 pagi tadi melibatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia, dan Sabah Electricity.
Pasukan penyelamat turut dibantu oleh unit dron, unit K9 serta anggota dari Balai Bomba Papar dan Putatan.
Aszaman ditemui dalam keadaan lemah dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS JBPM sebelum diserahkan kepada pihak ambulans Bulan Sabit Merah Malaysia untuk dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 petang setelah keadaan disahkan selamat.