KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) mengumumkan kejayaan pelaksanaan penjualan minyak mentah ke-9 dari Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang di Terminal Minyak Mentah Labuan, yang dijangka menjana hasil jualan sekitar RM92 juta.
Kejayaan terbaharu itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam prestasi portfolio huluan syarikat tersebut.
Dengan penjualan ini, jumlah hasil jualan terkumpul minyak dan gas mentah syarikat kini mencecah sekitar RM1.7 bilion, termasuk RM158 juta sejak awal tahun 2025.
Ini sekali gus mengukuhkan peranan aset Samarang sebagai penyumbang kukuh dan strategik kepada aliran hasil SMJ Energy.
“Pencapaian ini mencerminkan kekukuhan pelaburan kami dalam PSC Samarang serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai,” kata SMJ Energy dalam satu kenyataan pada Selasa.
PSC Samarang merupakan aset luar pesisir yang terletak di perairan Sabah dan terkenal dengan rekod pengeluaran yang stabil. Ia merupakan satu-satunya pembekal gas kepada Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) serta tiga loji janakuasa gas di sekitar Kota Kinabalu.
Samarang juga menjadi pembekal utama gas ke Labuan, termasuk ke Loji Metanol Labuan dan Loji Janakuasa SESB di pulau tersebut.
SMJ Energy turut memaklumkan pihaknya akan terus meneroka peluang pengoptimuman dalam kawasan pengeluaran itu bagi meningkatkan hasil dan memaksimumkan pulangan.