Advertisement

STAR Pertahan Slogan ‘Sabah For Sabahan’, Ini Tuntutan Berprinsip, Bukan Retorik Politik – Sabah News

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah tampil mempertahankan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’, sambil menegaskan bahawa ia bukan sekadar retorik politik, tetapi satu tuntutan berprinsip yang lahir daripada realiti sejarah dan pengalaman pahit rakyat di negeri ini.

Pengarah Komunikasi STAR, Datuk Jalumin Bayogoh, dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa pandangan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mengenai slogan tersebut adalah wajar dan tepat pada waktunya susulan pelbagai salah tafsir oleh pihak tertentu.

“Aspirasi ‘Sabah untuk Sabahan’ bukan anti-Persekutuan. Ia adalah refleksi kepada semangat rakyat Sabah yang mahu dilayan sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia. Kami tidak menolak perpaduan, tetapi menolak penindasan yang berselindung di sebalik slogan perpaduan,” kata Jalumin dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurut beliau, perjuangan STAR selama ini berpaksikan kepada dokumen sejarah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan IGC, yang jelas menunjukkan Sabah menyertai Malaysia sebagai rakan kongsi setara, bukan sebagai negeri bawahan.

“Apabila suara rakyat Sabah diketepikan, hasil bumi diangkut keluar tanpa pulangan adil, dan kuasa pusat meminggirkan Sabah, maka suara seperti ‘Sabah untuk Sabahan’ bukan hanya sah, tetapi perlu,” tegasnya.

Jalumin turut mengecam kenyataan sesetengah pemimpin yang melabel slogan tersebut sebagai pemecah-belah, menyifatkan ia sebagai cubaan untuk menyekat suara rakyat.

“Ini bukan soal politik sempit, ini soal hak dan maruah. Menyuarakan hak bukan jenayah,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa STAR tidak memperjuangkan pemisahan dari Malaysia, tetapi menuntut pemulihan hak berdasarkan semangat perjanjian asal pembentukan negara ini.

“Kami mahu pemulihan hak, bukan pemisahan. Tetapi jika hak terus dinafikan, jangan salahkan rakyat Sabah jika mereka memilih jalan yang lebih berani demi masa depan generasi mereka,” katanya memberi amaran.

Mengakhiri kenyataan, Jalumin menyeru agar Kerajaan Persekutuan menghormati suara rakyat Sabah dan tidak lagi memandang negeri itu sebagai wilayah pinggiran yang boleh dikawal sewenang-wenangnya.

“Kepada rakyat Sabah, perjuangan ini bukan perjuangan seorang tokoh, tetapi perjuangan bersama. Suara kita bukan suara yang meminta-minta, tetapi suara yang menuntut hak yang telah lama tertangguh,” katanya.