BEIJING, CHINA – Amerika Syarikat (AS) dan China akan memansuhkan tarif secara besar-besaran ke atas barangan masing-masing selama 90 hari yang telah bermula semalam.
Perkara itu dilakukan selepas satu ‘gencatan senjata sementara’ dalam perang dagang yang teruk dan mengganggu pasaran global serta rantaian bekalan antarabangsa.
AS dan China bersetuju untuk menurunkan kadar tarif yang tinggi secara ketara menerusi satu perjanjian yang dicapai hasil rundingan penting hujung minggu lalu di Geneva.
Presiden AS, Donald Trump yang dipetik AFP berkata, AS kini mempunyai asas kepada satu perjanjian perdagangan yang sangat kukuh dengan menyaksikan ekonomi China dibuka kepada sektor perniagaan di AS.
“Kita mempunyai rangka kerja kepada satu perjanjian yang sangat kukuh dengan China, tetapi paling menarik dalam perjanjian ini adalah pembukaan ekonomi China kepada perniagaan AS.
“Satu lagi perkara yang saya rasa paling menarik untuk kita dan juga China ialah kita sedang berusaha membuka laluan kepada China,” katanya dalam satu temu bual yang disiarkan oleh Fox News pada Selasa baru-baru ini.
Sebelum ini, tindakan Trump mengenakan tarif besar-besaran terhadap pelbagai pelopor ekonomi dunia terutama China, sudah menyebabkan perdagangan antarabangsa terganggu.
Ketika itu, China yang enggan mengalah, bertindak balas dengan mengenakan tarif balas sehingga kadar tarif di kedua-dua belah pihak melonjak melebihi 100 peratus.
Selepas kerugian berbilion dolar dalam pasaran saham dan perniagaan yang terjejas, rundingan akhirnya dimulakan hujung minggu lalu di Geneva antara dua kuasa besar perdagangan dunia bagi mencari jalan keluar daripada kebuntuan berkenaan.
Di bawah perjanjian itu, AS bersetuju menurunkan tarif ke atas barangan China kepada 30 peratus manakala China akan mengurangkan tarifnya kepada 10 peratus iaitu penurunan melebihi 100 mata peratusan.
Pengurangan jumlah tarif itu akan berkuat kuasa sejurus selepas tengah malam waktu AS (0401 GMT) pada semalam.
ia merupakan satu langkah utama untuk meredakan ketegangan perdagangan yang menyaksikan tarif AS terhadap import China melonjak sehingga 145 peratus serta terdapat produk yang dikenakan sehingga 245 peratus.
Pasaran kewangan melonjak susulan penggantungan tarif antara China dan AS itu.
Dalam pada itu, China mengambil pendekatan lebih berhati-hati, dengan menampilkan diri sebagai rakan dagang yang stabil dan pembela globalisasi dalam satu sidang kemuncak dengan pemimpin Amerika Latin minggu ini di China.
Tidak ada pihak yang menang dalam perang tarif atau perang perdagangan, kata Presiden China, Xi Jinping kepada pemimpin termasuk Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Sementara itu, diplomat tertinggi China, Wang Yi, menyindir kuasa besar yang sebelum ini percaya bahawa kuasa menentukan kebenaran.