Advertisement

Cubaan Rentas Sempadan Guna Rasuah Dan ‘Bot Hantu’ Gagal Di Sandakan – Sabah News

SANDAKAN: Dua cubaan rentas sempadan dari Filipina ke perairan Malaysia digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan dalam operasi berasingan di timur laut Pulau Berhala, pada Selasa.

Dalam kejadian pertama pada jam 11.49 pagi, Kapal Maritim PINTAR mengesan sebuah vesel mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari timur laut Pulau Berhala. 

Pemeriksaan mendapati vesel berdaftar itu membawa 14 penumpang termasuk seorang tekong terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita, berusia antara lapan hingga 70 tahun.

Menurut Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, majoriti penumpang adalah bukan warganegara dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Salah seorang daripada mereka turut cuba menyogok pegawai penguat kuasa dengan wang tunai, namun gagal apabila pegawai bertugas bertindak tegas dan merampas wang tersebut sebagai bahan bukti.

“Kesemua individu bersama vesel terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada pukul 2.53 petang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta SPRM 2009.

Dalam operasi kedua sekitar jam 12.00 tengah hari, sebuah lagi vesel tanpa nombor pendaftaran digelar ‘bot hantu’ dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.

“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tekong warga Filipina yang hanya memiliki MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan,” kata Suhairy.

Lebih membimbangkan, pemeriksaan lanjut menemui 12 tong jerrycan berisi petrol dianggarkan 300 liter serta tambahan 700 liter dalam tangki utama bot menjadikan keseluruhan 1,000 liter bahan api mudah terbakar, digunakan bagi menggerakkan tiga enjin luar berkuasa tinggi.

“Ini bukan sekadar bot tidak sah. Ini perangkap maut terapung yang sarat bahan mudah terbakar tanpa sebarang ciri keselamatan,” tegas beliau.

Bot berkenaan dipercayai digunakan untuk aktiviti rentas sempadan secara senyap.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada pendaftaran bot (Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002) serta membawa petrol tanpa permit sah (Akta Kawalan Bekalan 1961). Kesemua suspek dan bot turut dibawa ke jeti bagi siasatan lanjut.