Advertisement

Taktik Kotor Seludup Ratusan Kilogram Minyak Masak Terbongkar  – Sabah News





SANDAKAN: Cubaan licik menyeludup ratusan kilogram minyak masak bersubsidi di perairan Sandakan berjaya dihidu dan digagalkan Maritim Malaysia dalam operasi yang dilaksanakan baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu menemukan sebuah vesel kargo kecil yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kampung Sundang Laut sekitar pukul 5.45 petang.

“Pemeriksaan lanjut menemui 25 bungkusan plastik hitam mengandungi 425 peket minyak masak bersubsidi seberat 425 kilogram. Kesemua barangan tersebut dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit,” katanya.

Rampasan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala vesel terbabit ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut siasatan.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani aktiviti penyeludupan barangan kawalan yang mengancam ekonomi negara dan hak rakyat.