KOTA KINABALU, SABAH – Kepimpinan UMNO Sabah diberi kuasa autonomi untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata dia yakin dengan kepimpinan UMNO Sabah dalam menjalankan rundingan untuk memastikan parti itu dapat membentuk kerajaan bersama rakan lain di negeri tersebut selepas pilihan raya berkenaan.
Dia berkata UMNO pusat sangat menghormati autonomi parti berkenaan di Sabah dan perkara itu turut diketahui oleh Pengerusi UMNO negeri Bung Moktar Radin serta kepimpinan parti yang lain.
“Keputusan ini tidak dibuat di peringkat pusat. Kami sentiasa berbincang dan saya percaya di bawah kepimpinan Bung Moktar, dia bukan sahaja mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain di Sabah malah dia pasti akan berbincang dengan kami di Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gerak 17 bagi kawasan Parlimen Sepanggar di Sabah kelmarin.
Selain Bung Moktar, turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung UMNO Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Sepanggar Yakub Khan.
Ahmad Zahid berkata tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding termasuk berkaitan kerjasama dengan parti lain dan dia yakin Bung Moktar akan melihat situasi secara holistik dalam membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Dia turut mengulangi pendirian UMNO bahawa parti itu masih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti di Sabah pada pilihan raya kali ini dan berdasarkan pemerhatiannya, tidak ada satu parti dapat membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan pihak lain pada PRN17.
“Janganlah mana-mana pihak merasa terlalu besar hati bahawa partinya itu dominan dan tidak perlu bertanding dengan kerjasama parti lain,” katanya.
Ahmad Zahid juga mengingatkan para pemimpin supaya tidak membangkitkan sentimen ‘regionalistic’ kerana negara ini dibentuk atas semangat Persekutuan Malaysia.
Katanya, perkara seumpama itu tidak seharusnya ditimbulkan oleh mana-mana pemimpin termasuk di Sabah kerana negeri dan negara saling memerlukan untuk terus maju.
“Kita tidak mahu ada perasaan regionalistic yang sangat kental. Kenapa kita perlu bangkitkan perkara itu? Jangan membangkitkan perasaan begitu. Kita saling memerlukan…jangan kita berfikiran sempit dan jumud,” katanya.
– BERNAMA