KOTA KINABALU: Seorang wanita dari Nabawan membuat laporan polis mendakwa dirinya didaftarkan sebagai Muslim tanpa pengetahuan atau persetujuannya.
Marni Pengeran, 38, tampil bersama abang iparnya Raymond Ahuar dan peguam Sazalye Donol Abdullah semasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Ahad lalu.
Menurut Marni, beliau tidak pernah memohon untuk memeluk Islam dan hanya mengetahui status agamanya dalam pangkalan data Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) baru-baru ini selepas suaminya menyemak senarai mualaf di daerah mereka yang mendedahkan nama beliau tersenarai sejak 2009.
“Saya tidak pernah menandatangani borang, memberi persetujuan atau melafazkan syahadah. Ketika itu saya bekerja di Nabawan, dan mereka gunakan gambar saya bertudung. Saya langsung tiada urusan dengan pihak berkuasa agama,” katanya.
Kes ini timbul selepas cadangan program khas mualaf di Nabawan dibuat awal tahun ini, yang membawa kepada penemuan nama Marni dalam senarai peserta.
Walaupun dokumen pengenalan dirinya menunjukkan agama Kristian, rekod JHEAINS menyatakan sebaliknya.
Marni, yang berkahwin dan mempunyai empat anak berumur 6 hingga 13 tahun, berkata perkara ini mengganggu emosi dan keharmonian keluarganya.
“Anak-anak saya Kristian. Rekod palsu ini boleh menjejaskan masa depan keluarga kami,” ujarnya.
Peguamnya berkata penukaran agama yang sah memerlukan pengisytiharan sukarela dan ikrar bertulis. Malah, katanya, cap jari dalam dokumen rasmi itu tidak sepadan dengan milik Marni.
Beliau mencadangkan siasatan terhadap pegawai agama dan dua saksi yang dinamakan dalam dokumen, termasuk kemungkinan wujud sindiket pemalsuan rekod di kawasan pedalaman.
Katanya kes itu dilihat dari dua sudut siasatan jenayah atas pemalsuan dokumen dan tindakan sivil untuk membetulkan status agama Marni di Mahkamah Syariah.
Sementara itu, keluarga Marni turut menemui kes serupa melibatkan ibu saudaranya yang sudah meninggal dunia dan dikebumikan secara Kristian, namun direkodkan sebagai Muslim dalam sistem kerajaan.
Lebih merumitkan keadaan, salah seorang saksi penukaran Marni ialah Datuk Sangkar Rasam, suami kepada Datin Rufinah Pangeran yang mengalahkan Raymond dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Pensiangan April lalu.
Namun Raymond menegaskan bahawa isu ini tidak patut dipolitikkan.
“Kita mesti menegakkan keadilan, walaupun melibatkan ahli keluarga atau tokoh politik. Ini soal hak asasi dan kepercayaan,” katanya.