SANDAKAN: Satu operasi menangkap buaya telah berjaya dilaksanakan awal pagi tadi oleh pasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) susulan laporan penduduk kampung mengenai kemunculan seekor buaya di bawah Jambatan 2, Kampung Tinusa 2, Batu 7, Sandakan, pagi tadi.
APM dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden yang diklasifikasikan sebagai Kes Hidupan Liar Kritikal (LLK) dilaporkan sekitar jam 1.28 pagi, apabila seorang penduduk, Nurhalim, 25 tahun, menghubungi talian kecemasan 999 selepas terlihat seekor buaya yang terlilit tali di bawah jambatan berhampiran rumahnya ketika sedang mengemas bot.
“Bimbang akan keselamatan diri serta penduduk kampung, beliau segera meminta bantuan.
“Pasukan Skuad CHARLIE yang terdiri daripada 1 pegawai dan 7 anggota segera digerakkan ke lokasi menggunakan 1 kenderaan REVO (LRV-CS018) dan 1 ambulans (MRV-CS218) dan tiba pada jam 1.50 pagi seterusnya menjalankan penilaian serta tindakan segera.
“Sekitar jam 2.16 pagi, operasi berjaya apabila buaya berukuran 1.5 meter dengan berat kira-kira 16 kilogram berjaya ditangkap menggunakan 2 penjerut. Mata buaya kemudiannya ditutup menggunakan selimut sebelum diikat dengan selamat,” katanya hari ini.
Haiwan tersebut akan diserahkan kepada pihak PERHILITAN untuk tindakan lanjut pada waktu pagi.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang operasi. Pasukan operasi turut dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti topi keledar, sarung tangan, penjerut dan penyepit.
Skuad CHARLIE menamatkan operasi pada jam 3.23 pagi.