Advertisement

Majlis Penghormatan Terakhir Allahyarham Tun Ahmadshah Abdullah Berlangsung Penuh Hiba – Sabah News

KOTA KINABALU: Majlis penghormatan terakhir bagi bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Allahyarham Tun Datuk Seri Ahmadshah Abdullah berlangsung dalam suasana penuh hiba dan penghormatan di Masjid Negeri pada Rabu.

Jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman keluarga di Taman Likas Jaya kira-kira jam 10.00 pagi dan disambut oleh ahli keluarga, kenalan rapat, serta para pemimpin negeri dan rakyat yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, SS Datuk Ustaz Haji Bungsu@Aziz Haji Jaafar selepas solat Zohor, sebelum jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut hadir memberi
penghormatan terakhir dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir ialah mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Dr Juhar Datuk Mahiruddin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M.Yahya; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir.Shahelmey Yahya;

Seterusnya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr.
Safar Untong dan kenamaan lain.

Sebagai tanda penghormatan, Kerajaan Negeri turut mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut.