Advertisement

Legenda Lagu ‘Anak’, Freddie Aguilar, Meninggal Dunia pada Usia 72 Tahun – Sabah News

KOTA KINABALU: Penyanyi dan penulis lagu Filipina, Freddie Aguilar, yang terkenal dengan lagu hit antarabangsa “Anak”, meninggal dunia di Manila semalam pada usia 72 tahun, lapor media tempatan.

Menurut catatan di media sosial yang dimuat naik oleh isterinya, Jovie Albao-Aguilar, beliau sedang menerima rawatan di Philippine Heart Center sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Bekas pemuzik jalanan itu merupakan antara perintis gerakan Original Pilipino Music (OPM) yang muncul pada era 1970-an.

Aguilar dikenali bukan sahaja kerana muziknya, tetapi juga penglibatan aktif dalam isu-isu politik dan sosial menerusi lagu-lagunya.

Pada tahun 1980-an, beliau menjadi suara penting dalam Gerakan Kuasa Rakyat (People Power Movement) yang menggulingkan diktator Ferdinand Marcos. Versi nyanyiannya bagi lagu patriotik tradisional “Bayan Ko” menjadi lagu tema gerakan tersebut.

Menurut profilnya di perkhidmatan muzik Spotify, Aguilar memulakan kerjaya muzik dengan menyanyikan lagu-lagu cover untuk anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di Filipina.

“Ini bukan selamat tinggal, cuma perpisahan buat sementara waktu.

“Ia adalah perjuangan yang hebat kerana kita berjuang bersama-sama,” tulis Albao-Aguilar di laman Facebook miliknya.

Aguilar memeluk Islam pada tahun 2013 ketika berusia 60 tahun bagi membolehkan beliau berkahwin dengan Albao-Aguilar yang ketika itu berusia 16 tahun di bawah Kod Keluarga Islam negara itu.

Pada tahun 2018, Senat Filipina telah meluluskan satu resolusi khas bagi menghargai sumbangan beliau yang luar biasa sepanjang hayat dalam bidang seni dan budaya Filipina.

Resolusi itu menyatakan bahawa beliau adalah satu-satunya penyanyi dan komposer yang berjaya menembusi pasaran Barat dan mendapat pengiktirafan global yang meluas, sekali gus mengharumkan nama negara.

Lagu “Anak”, yang mengisahkan kesusahan membesarkan anak yang bermasalah, terjual lebih 30 juta salinan di seluruh dunia.