Advertisement

Remaja Lemas Ketika Mandi Sungai Bersama Keluarga di Sook – Sabah News





SOOK: Kegembiraan hujung minggu bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di Sungai Pinipi, berhampiran TMR Lanas, di sini, petang Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang menerusi talian MERS999 dan terus menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.

Setibanya pasukan penyelamat pada jam 5.20 petang, dimaklumkan bahawa mangsa telah pun ditemui oleh orang awam yang menjalankan pencarian awal menggunakan kaedah selaman di lokasi terakhir mangsa dilihat.

Remaja terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

Komander Operasi, PBK II Obbie Wilson Pairin, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Turut serta dalam operasi ialah dua anggota polis dan empat kakitangan perubatan KKM.