TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Stephen Tan, Tawau awal pagi Jumaat lalu gagal apabila dia berjaya ditahan ketika sedang memotong mangga kunci premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.40 pagi apabila dua anggota polis dari Balai Polis Tawau yang sedang menjalankan rondaan menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) berhubung kehadiran individu mencurigakan di lokasi tersebut.
“Bertindak atas maklumat itu, anggota kami segera ke lokasi dan mendapati seorang lelaki sedang memotong mangga kunci menggunakan gergaji besi. Suspek turut memotong wayar lampu kedai emas berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, suspek yang berusia 57 tahun bertindak agresif dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan kecil.
Polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah premis termasuk sebuah gergaji besi, satu batang mata gergaji dan alat kuku kambing.
Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah,” jelas ACP Jasmin.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu mencegah jenayah di kawasan setempat.