KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah) menggesa kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar menghentikan amalan bersaing dengan sektor swasta dan sebaliknya mengamalkan pendekatan kerjasama strategik.
Pengerusinya, David Chan, berkata sektor swasta memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan menyumbang hasil negara melalui cukai korporat sebanyak 26 peratus.
“Kerajaan menerima manfaat besar daripada aktiviti ekonomi sektor swasta, jadi adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyokong dan memperkukuh ekosistem ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Chan, GLC sepatutnya bertindak sebagai pelengkap dan rakan strategik kepada sektor swasta, bukannya pesaing.
Katanya, tujuan asal penubuhan GLC adalah untuk mengisi kekosongan dalam pasaran bukan untuk mengambil alih sepenuhnya ruang yang telah diterajui oleh perniagaan tempatan.
“GLC seharusnya berperanan seperti syarikat induk, manakala sektor swasta pula berfungsi seperti anak syarikat yang tangkas dan inovatif.
“Pendekatan menang-menang ini penting untuk menjamin pembangunan ekonomi yang kukuh dan inklusif,” tegas beliau.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap trend GLC yang semakin aktif dalam sektor komersial, hingga menjejaskan kelangsungan perniagaan swasta yang telah lama bertapak.
“Jika keadaan ini dibiarkan, ia akan melemahkan semangat keusahawanan, mengurangkan peluang pekerjaan dan akhirnya melemahkan asas ekonomi negara,” katanya.
Chan turut menyeru kerajaan untuk menilai semula peranan GLC agar tidak bersaing secara langsung, sebaliknya menyokong perkembangan syarikat kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan.
“Kita perlukan dasar-dasar yang menggalakkan kerjasama antara GLC dan sektor swasta, serta memastikan persaingan sihat dengan menghalang amalan monopoli dalam pasaran,” tambahnya.