TAWAU: Keunikan budaya dan warisan etnik Tidung terus dipelihara dan diketengahkan menerusi penganjuran IRAW ADOU SIGOG MOMOGUN TIDUNG BORNEO SABAH 2025, sebuah program kebudayaan berskala besar yang menghimpunkan masyarakat Tidung dari seluruh Sabah serta wakil dari Kalimantan Utara, Indonesia.
Program selama dua hari yang bermula kelmarin berlangsung meriah di Padang Perbandaran Tawau, dengan kehadiran ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyaksikan kepelbagaian adat, seni dan budaya suku kaum Tidung.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang mewakili Ketua Menteri Sabah.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Komuniti Tidung Sabah (PAKOT) kerana berjaya menganjurkan acara yang penuh makna ini. Etnik Tidung merupakan salah satu suku kaum penting di Sabah yang kaya dengan adat serta warisan budaya yang masih terpelihara,” katanya dalam ucapannya.
Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, pameran adat dan kraftangan, serta pengenalan kepada Sekolah Adat Tidung, iaitu satu inisiatif pendidikan budaya secara sukarela yang digerakkan oleh komuniti Tidung sendiri.
Datuk Nizam menyifatkan penubuhan sekolah adat sebagai langkah proaktif yang wajar dicontohi oleh etnik lain di Sabah.
“Usaha mewujudkan sekolah adat ini sangat wajar. Ia bukan sahaja menghidupkan semula nilai dan pengetahuan tradisi, malah memupuk jati diri dalam kalangan generasi muda,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau kini dalam fasa awal pelaksanaan. Pusat ini bakal menjadi mercu tanda baharu bagi pemeliharaan dan pengembangan budaya pelbagai etnik di Sabah.
“Penganjuran program ini membuktikan bahawa kebudayaan bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi menjadi nadi penting dalam pembentukan jati diri, memupuk persefahaman dan merapatkan hubungan serumpun Nusantara,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Bapak Aris Heru Utomo, Konsul Republik Indonesia di Tawau, sebagai simbol hubungan akrab antara komuniti serumpun di Sabah dan Kalimantan Utara.
IRAW ADOU SIGOG MOMOGUN TIDUNG BORNEO SABAH 2025 akan berlangsung sehingga 1 Jun dan terbuka kepada orang ramai.