KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp akan kembali ke Pulau Gaya minggu hadapan bagi melatih sekurang-kurangnya 5,000 penduduk pulau itu sempena pelancaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025, yang bertemakan Pembelajaran Tanpa Sempadan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata usaha tersebut adalah lanjutan kepada program komuniti ‘Sentuhan KESUMA Bersama HRD Corp di Bawah Bayu’, yang sebelum ini menghimpunkan lebih 450 penduduk daripada empat kampung sekitar pulau untuk menyertai bengkel keusahawanan dan latihan kemahiran.
“Latihan ini penting agar rakyat berkemahiran dan mampu jana pendapatan lebih baik. Untuk Sabah sahaja, sasaran tahun ini adalah 60,000 peserta berbanding 15,000 tahun lalu,” katanya.
Dalam program sama, HRD Corp turut melancarkan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui inisiatif SHINE, sebuah platform pembangunan bakat dan pembelajaran sepanjang hayat yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Turut diumumkan, bantuan peralatan latihan bernilai RM36,000 kepada sektor pelancongan tempatan, serta sumbangan CSR berupa jaket keselamatan, bakul makanan dan dana pendidikan kepada komuniti Pulau Gaya.