KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih cuba memujuk Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad agar tidak meneruskan peletakan jawatan, menyebabkan dua kekosongan menteri belum diisi.
Memetik Harian Metro, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, kelewatan itu wajar diberi perhatian kerana portfolio Ekonomi serta Sumber Asli dan Kelestarian Alam adalah penting dan tidak sepatutnya dibiarkan kosong terlalu lama.
Semalam, Anwar menyatakan tiada keperluan mendesak untuk rombakan Kabinet dan kerajaan masih berfungsi meskipun dua menteri meletak jawatan.
Situasi ini turut menjadi lebih kompleks dengan keputusan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz keluar UMNO tetapi kekal sebagai Menteri MITI, sekali gus mengurangkan tekanan kepada Anwar untuk mengisi kekosongan segera.

Sementara itu, penganalisis Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, Anwar berasaskan alasan kukuh kerana negara kini berdepan komitmen antarabangsa, termasuk pasca Mesyuarat ASEAN dan rundingan tarif dengan Amerika Syarikat.
Tambahnya, tempoh peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi yang hanya berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai masih memberi ruang untuk mereka menarik balik keputusan itu.


Kedua-dua tokoh PKR itu tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini, sekali gus mencetuskan spekulasi dalaman parti turut mempengaruhi keputusan mereka melepaskan jawatan Kabinet.
Namun, Anwar tidak berdepan kesukaran mencari pengganti jika kekosongan itu perlu diisi memandangkan PKR memiliki ramai tokoh berkelayakan dalam kalangan Ahli Parlimen sedia ada.