PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menekankan kepentingan kerjasama erat antara wakil rakyat dan pemimpin kerajaan dalam memastikan kejayaan pembangunan kawasan.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata hubungan baik antara beliau dan ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang, membolehkan pelbagai program pembangunan dilaksanakan dengan lebih lancar di kawasan Kapayan.
“Kami tidak bekerja dalam silo, tetapi sebagai satu pasukan,” ujarnya ketika berucap pada Sambutan Pesta Kaamatan DUN Kapayan di Dewan Kibouvang.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Shim, dan turut dihadiri beberapa menteri dan ahli Parlimen lain.
Ewon memaklumkan bahawa hasil kerjasama tersebut, Pelan Pembangunan Penampang 2024–2035 telah dirangka dan menjadi input utama kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beberapa menteri persekutuan telah melawat Penampang untuk menilai keperluan pembangunan, termasuk projek tebatan banjir, naiktaraf jalan Terian-Buayan, jambatan Babagon, serta Program PANTAS di Kg. Togudon.
Bagi kementeriannya sendiri, Ewon menyatakan bahawa beberapa pejabat agensi telah ditubuhkan di Penampang seperti INSKEN, TEKUN Nasional, Hab PMKS, dan Live Studio di pejabat TEKUN.
Projek Tamu Desa juga dilaksanakan bagi menyokong peniaga dan usahawan kecil.
Dalam konteks sambutan Kaamatan, Ewon menegaskan bahawa ia merupakan perayaan untuk semua rakyat Malaysia, bukan hanya masyarakat Kadazandusun.
“Kaamatan bukan hanya disambut di Sabah, tetapi juga oleh komuniti Sabah di luar negara,” katanya.