Advertisement

Lebih Banyak Tamu Desa Akan Dibina di Sabah, Sarawak Dengan RM30 Juta – Sabah News

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membina lebih banyak premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak tahun ini dengan peruntukan RM20 juta, termasuk tambahan RM10 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Tahun lalu, kita berjaya membina dan menaik taraf 98 premis Tamu Desa di seluruh Sabah dan Sarawak.

“Tahun ini, dengan peruntukan RM20 juta, saya berharap jumlah yang sama atau lebih dapat dibina,” kata Menterinya, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan premis baharu di Kampung Pinasang Tamu Darat hari ini, yang siap tahun ini dengan kos RM250,000.

Menurut Ewon, projek ini membantu usahawan kecil dan komuniti luar bandar.

“Ia bukan sahaja menyediakan ruang lebih selesa untuk berniaga, tetapi juga boleh digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan,” tambahnya.

Setakat Mei, permohonan naik taraf dan pembinaan baharu di Sabah sahaja mencecah RM40 juta.

“Jumlah ini belum termasuk permohonan dari Sarawak. Walaupun bajet terhad, apa yang penting adalah kesinambungan daripada apa yang kita telah laksanakan tahun lalu,” jelasnya.

Beliau yakin inisiatif ini akan menjadi salah satu input utama kementerian dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030).