Advertisement

Lelaki Tergamak Tumbuk Bapa Kandung di Tawau, Ditahan Polis – Sabah News

TAWAU: Seorang lelaki tergamak memukul bapa kandungnya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Pitas, Bombalai, pagi kelmarin, menyebabkan warga emas itu mengalami kecederaan parah di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi apabila suspek berusia 23 tahun bertindak menumbuk bapanya tanpa sebarang sebab yang jelas.

“Mangsa, seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an, mengalami kecederaan serius di muka dan kepala akibat serangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan serta menahan suspek di sebuah kawasan perumahan pekerja berdekatan, kurang dua jam selepas kejadian, iaitu pada jam 10.30 pagi.

“Ketika cubaan tangkapan dilakukan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas berlaku sedikit pergelutan,” ujar ACP Jasmin.

Siasatan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, dan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman atas kesalahan mencederakan ahli keluarga.

ACP Jasmin dalam pada itu turut menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap isu kesihatan mental dan pengurusan emosi dalam keluarga, serta menggesa agar konflik kekeluargaan ditangani secara matang dan berhemah.

“Penting untuk setiap ahli keluarga memainkan peranan dalam mencipta suasana harmoni dan tidak menyelesaikan masalah dengan keganasan,” katanya.

Kes kini masih dalam siasatan lanjut dan pihak polis sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai latar belakang suspek.