Advertisement

Rumah Musnah Dijilat Api Dalam Kebakaran di Kg Limbahau Papar Semalam – Sabah News

PAPAR: Sebuah rumah tidak kekal di Jalan Kopimpinan, Kampung Limbahau di sini musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran lewat malam semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 11.50 malam.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar segera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 3 kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, Dahlan Jainudin, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki persegi dan didapati musnah 100 peratus.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air, menggunakan sumber air dari pili bomba dan parit berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.16 pagi, dan operasi keseluruhan tamat pada jam 2.04 pagi selepas anggota bomba memastikan tiada lagi risiko kebakaran atau bahaya lain di kawasan berkenaan.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut, dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Seramai 10 anggota terlibat dalam operasi berkenaan, termasuk dari unit Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Turut membantu dalam operasi ini ialah anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity (SE).