TAWAU: Seorang wanita yang bertindak agresif sambil memegang sebilah parang di hadapan sebuah premis perniagaan di pusat bandar Tawau mencetuskan kekecohan sebelum berjaya ditahan oleh pihak polis, pada petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5 petang apabila suspek berusia 39 tahun dilihat bertindak mencurigakan dan agresif sambil memegang senjata tajam, dipercayai parang, serta memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Tindakan pantas anggota rondaan Bit dari Balai Polis Tawau berjaya mengekang insiden daripada menjadi lebih buruk dan suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.
Menurut ACP Jasmin, pihak polis menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau, dan sepasukan anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati wanita tersebut dalam keadaan beremosi dan bersenjata.
“Anggota kami bertindak pantas menahan suspek dan merampas parang tersebut dari tangannya tanpa sebarang kecederaan berlaku,” jelas beliau.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek turut menemui sebilah kapak yang disimpan di dalam bonet kereta.
Polis telah merampas kedua-dua senjata dan kenderaan yang digunakan suspek, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugut jenayah.
ACP Jasmin turut memaklumkan bahawa siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta latar belakang suspek.
Beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden seumpama ini bagi membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.