Advertisement

Dua Tapak Dicadangkan Untuk Pembinaan Sekolah Rendah Baharu di DUN Lumadan – Ruslan – Sabah News

BEAUFORT, 11 Jun 2025: Dua tapak tanah dikenal pasti sebagai cadangan awal untuk pembinaan dua buah sekolah rendah baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.

Beliau berkata, dua lokasi cadangan tersebut adalah di atas tanah milik Koperasi Pembangunan Desa (KPD) di Kampung Lingkungan dan satu lagi di kawasan strategik berhampiran penempatan penduduk Kampung Tamalang Along.

“Pagi tadi, saya bersama Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lumadan, Pegawai Pendidikan Daerah serta beberapa pegawai agensi kerajaan telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau dua tapak cadangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ruslan menjelaskan, lokasi pertama dicadangkan bagi pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Lingkungan, manakala tapak kedua dicadangkan sebagai lokasi pembinaan SK Bukau.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kedua-dua cadangan itu masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.

“Setakat ini, tiada sebarang keputusan rasmi dibuat kerana ia memerlukan kajian menyeluruh, penilaian teknikal serta pengesahan daripada agensi berkaitan sebelum diteruskan ke peringkat seterusnya,” jelas beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama).

Ruslan turut menyatakan bahawa lawatan tapak ini merupakan langkah awal dalam perancangan strategik ke arah memperkukuhkan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar, dengan mengambil kira keperluan sebenar masyarakat setempat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan tinjauan ini. Diharapkan usaha ini dipermudahkan dan membuahkan hasil yang bermanfaat kepada rakyat, khususnya dalam memastikan akses pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.

Projek pembinaan sekolah baharu ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar di Sabah, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman.