Advertisement

Kerajaan Teliti Pindaan Peraturan LPG Bersubsidi untuk Peniaga Mikro dan Kecil Dalam Sesi Libat Urus Hari Ini – Sabah News

PUTRAJAYA: Satu sesi libat urus penting telah diadakan hari ini bagi membincangkan cadangan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang melibatkan penggunaan LPG bersubsidi dalam sektor perdagangan dan perniagaan.

Sesi ini memberi fokus kepada usaha menambah baik peruntukan sedia ada, khususnya berkaitan sekatan had penggunaan LPG bersubsidi bagi peniaga makanan dan minuman berskala mikro dan kecil. 

Sesi tersebut turut disertai oleh 10 persatuan berkaitan dan dihadiri oleh YB Tuan Cha Kee Chin, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian merangkap Ahli Parlimen Rasah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali yang turut hadir pada sesi libat urus itu berkata, pelbagai syor dan pandangan telah dikemukakan oleh para peserta.

“Semua persatuan diminta untuk mendapatkan maklum balas daripada ahli masing-masing serta mengemukakan memorandum cadangan kepada Jawatankuasa Teknikal Semakan Pindaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian.

“Sebagaimana kelulusan Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 terhadap syor KPDN, kerajaan bersetuju untuk meminda peruntukan yang diwartakan pada 2021. Namun, perincian lanjut perlu ditetapkan agar terdapat kejelasan dari segi perundangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk pendefinisian peringkat perniagaan jualan makanan dan minuman yang layak, status pemilikan perniagaan, jumlah keperluan LPG, mekanisme kawalan dan pelaporan, serta keberkesanan sistem pemantauan dan penguatkuasaan.

Strategi bagi mengekang ketirisan LPG bersubsidi secara menyeluruh turut menjadi perhatian utama.

Sesi libat urus ini menjadi platform penting dalam merangka dasar yang lebih adil dan menyeluruh, khususnya bagi memastikan keperluan peniaga kecil dan mikro terus dilindungi tanpa menjejaskan kawalan terhadap subsidi kerajaan.