KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, menegaskan komitmen kerajaan dalam menyokong pekebun kecil sawit di pedalaman Sabah dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM1.625 juta kepada 21 pekebun kecil bebas bagi tujuan tanam semula, melibatkan kawasan seluas 90.32 hektar.
Bantuan ini disalurkan melalui Skim Galakan Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Turut disediakan ialah subsidi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sokongan Amalan Pertanian Baik (GAP), rak simpanan bahan kimia, dan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk memperkukuh pematuhan pekebun kepada standard MSPO.
Di Pensiangan, sebanyak RM391,752 telah diberikan kepada lima pekebun kecil, manakala di Keningau, lapan pekebun kecil menerima RM713,534.40 dan di Tenom, lapan lagi pekebun kecil mendapat bantuan berjumlah RM520,425.
Chan menekankan bahawa pensijilan MSPO bukan sahaja meningkatkan pengiktirafan pasaran antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia, tetapi turut memberi manfaat nyata kepada pekebun kecil seperti amalan pertanian yang lebih baik, pemeliharaan alam sekitar, peningkatan kualiti hasil, dan peningkatan pendapatan.
Sehingga 30 April 2025, seramai 30,768 pekebun kecil di Sabah telah memperoleh pensijilan MSPO, meliputi keluasan 191,204.27 hektar, iaitu kadar pensijilan sebanyak 97.62 peratus, antara yang tertinggi di negara ini.
Beliau turut menggesa pekebun kecil di seluruh negara untuk memohon skim TSPKS 2.0 yang menyediakan geran padanan berjumlah RM100 juta, dikendalikan sepenuhnya oleh Agrobank, bagi meringankan beban kewangan tanam semula serta meningkatkan produktiviti jangka panjang.
Sehingga kini, sebanyak 571 permohonan di Sabah telah diluluskan melibatkan kawasan tanam semula seluas 2,505.06 hektar, termasuk empat permohonan di Pensiangan melibatkan 19.89 hektar, 83 permohonan di Keningau merangkumi 398.27 hektar, dan sembilan permohonan di Tenom melibatkan 33.48 hektar.
Chan turut memuji kejayaan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Apin-Apin yang menjadi koperasi pertama di Sabah memperoleh pensijilan MSPO bagi Pusat Timbang mereka, sekali gus menjadi contoh penting kepada koperasi lain di Sabah dan seluruh negara.
Beliau menyeru semua pekebun kecil yang layak untuk memanfaatkan sepenuhnya insentif dan program kerajaan demi memperkukuh kelestarian industri sawit Malaysia.