KOTA KINABALU: SMJK Chung Hwa Tenom telah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa apabila kumpulan pelajarnya meraih Juara Keseluruhan dan Anugerah Persembahan Terbaik dalam Festival dan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26 di Istanbul, Turkiye, yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun 2025.
Mereka mempersembahkan Tarian Magunatip, warisan masyarakat Murut yang memerlukan ketangkasan tinggi serta koordinasi mantap, dan berjaya memukau penonton serta para juri.
Kejayaan ini lebih manis apabila mereka menewaskan 13 pasukan dari pelbagai negara, termasuk juara bertahan dari Rusia.
Menurut jurulatih kebudayaan, Siti Faridah Lawadin, kemenangan itu adalah hasil dedikasi pelajar serta sokongan padu pihak sekolah dan komuniti.
Beliau menyifatkan kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan Sabah, tetapi turut memartabatkan seni tradisional negara ke peringkat global.
Rombongan seramai 35 orang pelajar dan pegawai, diketuai Ketua Kontinjen Irene Josie Sambang, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 10 Jun jam 1.00 pagi, dan disambut oleh wakil Jabatan Pendidikan Sabah, PPD Tenom, alumni, PIBG, serta Pengetua SMJK Chung Hwa, Oou Chu Suan.
Selain Magunatip, mereka turut mempersembahkan tarian kipas dan pencak silat sebagai sebahagian daripada promosi budaya Malaysia.
Kejayaan mereka membuktikan bahawa seni budaya mampu menjadi jambatan perpaduan, lambang kebanggaan negara, dan aset penting dalam diplomasi antarabangsa.