Advertisement

Polis Siasat Kes Langgar, Curi Hillux Libat Warga Emas Di Penampang – Sabah News

PENAMPANG: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian curi kenderaan pacuan empat roda melibatkan seorang warga emas berusia 64 tahun di Jalan Tambunan-Kota Kinabalu pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata kejadian berlaku selepas mangsa dilanggar oleh suspek lelaki ketika melalui sebuah jalan kampung sebelum kenderaannya dilarikan.

“Kes masih dalam siasatan dan usaha menjejak suspek sedang giat dijalankan. Ia disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Anis Abdullah di talian 013-6365734.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran,” tegasnya.

Terdahulu, Daily Express melaporkan seorang pesara juruterbang cedera selepas cuba menghalang Toyota Hilux miliknya daripada dilarikan suspek yang turut melarikan ibunya berusia 88 tahun dalam kejadian berhampiran Kampung Notorus.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, kenderaan mangsa, dilanggar dari belakang oleh sebuah Proton Saga yang dilaporkan dicuri.

Suspek mendakwa tertidur sebelum John dan adiknya keluar memeriksa kerosakan. Ketika merakam gambar kemalangan, suspek melompat masuk ke dalam Hilux dan memecut pergi.

Mangsa sempat berpaut namun terjatuh dan mengalami kecederaan di siku dan lutut manakala ibunya ditemui selamat di tepi jalan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.