Advertisement

Iran Serang Balas, Dua Maut dan Lebih 40 Cedera di Israel – Sabah News

IRAN: Iran melancarkan serangan balas terhadap Israel semalam, selepas serangan terbesar Israel ke atas fasiliti nuklear Iran di Natanz dan pembunuhan beberapa jeneral tertinggi Iran.

Letupan kedengaran di Tel Aviv dan Baitulmaqdis, manakala siren serangan udara dibunyikan di seluruh Israel.

Tentera Israel menyatakan kurang 100 peluru berpandu dilancarkan, sebahagian besarnya dipintas atau jatuh sebelum sampai.

Tentera AS turut membantu menembak jatuh peluru berpandu tersebut. Dua maut dan lebih 40 cedera di Israel, dengan beberapa bangunan rosak termasuk di Ramat Gan dan Tel Aviv.

Mengikut laporan Reuters, media rasmi Iran melaporkan ratusan peluru berpandu balistik dilancar sebagai balasan, dengan 78 maut termasuk pegawai kanan tentera dan lebih 320 cedera. 

Iran mendakwa Israel memusnahkan loji Natanz serta membunuh enam saintis nuklear. Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menuduh Israel memulakan perang dan memberi amaran balas dendam akan menyakitkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata operasi ketenteraan akan diteruskan “selama mana yang perlu” untuk menghapuskan ancaman nuklear Iran.

Beliau menegaskan tindakan itu perlu bagi menghalang Iran membina senjata nuklear, walaupun Tehran menafikan dakwaan itu.

Ketua IAEA mengesahkan kemusnahan tapak pengayaan uranium di Natanz, dengan siasatan lanjut terhadap serangan di dua lagi fasiliti sedang dijalankan.

Trump pula menyatakan rundingan nuklear masih berjadual walaupun tidak pasti jika ia akan berlangsung. Beliau mendakwa tahu rancangan Israel lebih awal dan ingin mengelakkan “kehinaan dan kematian” Iran.

Pihak keselamatan Israel mendakwa Mossad telah melakukan operasi rahsia dalam Iran sebelum serangan, termasuk menghancurkan sistem pertahanan udara dan radar.

Iran juga kehilangan keupayaan membalas serangan melalui proksi seperti Hezbollah dan Hamas, yang telah dilemahkan sebelum ini.

Satu peluru berpandu dari Yaman dilaporkan mendarat di Hebron, mencederakan tiga kanak-kanak Palestin, menandakan kemungkinan penyebaran konflik ke kawasan lain.