Advertisement

GRS Sedia Hadapi Sesiapa Sahaja PRN17 Akan Datang – Hajiji – Sabah News

TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan gabungan parti pemerintah pimpinannya itu bersedia menghadapi sesiapa saja pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Katanya, ia adalah pendirian GRS, namun sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya mesti diputuskan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan parti tempatan itu.

“GRS bersedia untuk menghadapi sesiapa saja dalam pilihan raya umum akan datang. Jadi itu pendirian kita, tetapi apapun bentuk kerjasama mesti diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi GRS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman Tuaran pada Ahad.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan DUN dibubarkan pada akhir Julai depan bagi memberi laluan PRN17, Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, beliau belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan spekulasi mengenai perkara itu yang dijangka pada hujung Julai atau awal Ogos depan.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan akan membuat pengumunan mengenai perkara itu selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada akhir Julai nanti.

“Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung bulan Julai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), turut menyatakan sokongan terhadap pendapat Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang bersetuju GRS bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN17.

“Saya sokong pendapat dia, tetapi apapun kita belum buat keputusan muktamad. Ini bukan daripada saya, daripada parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat.

“Kita jangan paksa orang kalau tidak berminat,” katanya.

Semalam, Armizan berkata beliau secara peribadi bersetuju dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk membiarkan GRS dan BN bertembung pada pilihan raya itu nanti.

Sementara itu, Hajiji berkata Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada kali ini penting kerana ia diadakan menjelang PRN17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Jadi, ingatan dan nasihat saya kepada ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS supaya mereka bersatu hati. Rapatkan barisan, kuatkan jentera parti untuk kita menghadapi pilihan raya yang tidak berapa lama lagi,” katanya.