Advertisement

Warisan Runtuh Kerana Rekod Sendiri, Cuba Sembunyi Kegagalan – Clarence – Sabah News

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun menempelak tulisan Daniel John Jambun yang mempertahankan pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri, menyifatkannya sebagai cubaan menutup sejarah sebenar.

Beliau menegaskan, Tan Sri Musa Aman sudah mendapat majoriti mudah 31 kerusi selepas PRN 2018, tetapi disekat dua kali daripada memasuki Istana untuk mengangkat sumpah.

Pelantikan Shafie, katanya, bukan atas bukti majoriti jelas, sebaliknya hasil manipulasi krisis politik.

Beliau menyangkal dakwaan bahaea Musa menarik balik kes mahkamah kerana gagal buktikan sokongan.

Sebaliknya, katanya, Musa berundur secara terhormat demi kestabilan, bukan kekalahan.

Beliau turut membidas keputusan Warisan membatalkan projek rawatan air seperti Telibong 2, kononnya atas isu ketelusan perolehan.

Katanya, pembatalan itu membawa kerugian berjuta ringgit dan dilakukan di bawah menteri yang kini dipenjara atas kes rasuah.

“Warisan tidak pernah menang PRN secara langsung. Pada 2018, mereka naik melalui lompat parti, dan pada 2020, tewas dalam pilihan raya.

“Isu ‘Sempornisasi’ juga bukan mitos, kerana diakui sendiri oleh pemimpin Warisan termasuk Shafie dan Azis Jamman dalam rakaman video.

“Kenyataan mereka menunjukkan bias perkauman dalam pelantikan jawatan awam dan GLC semasa pentadbiran Warisan,” kata Clarence.

Beliau turut mengkritik sikap Warisan dalam isu IC Projek 2.0 ran mempersoal kebakaran misteri di perkampungan setinggan, kemunculan unit bergerak JPN, serta sikap lepas tangan Azis Jamman ketika menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

“Warisan tidak perlukan musuh. Musuhnya adalah rekod pemerintahannya sendiri.

“Sabah perlukan kebenaran, bukan retorik penuh bunga dan penafian sejarah,” katanya.