KOTA KINABALU: Beberapa langkah segera sedang diambil bagi menjamin bekalan air di kampus utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) kekal stabil, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Menurut beliau, usaha menangani isu ini dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara UMS dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), termasuk perbincangan secara terus antara pengurusan tertinggi kedua-dua pihak.
“Saya difahamkan JANS, bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya serta pihak Naib Canselor UMS sendiri telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan langkah penyelesaian.
“Keutamaan adalah memastikan aliran air ke UMS tidak terganggu kerana itu punca utama masalah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di UMS, pada Sabtu lalu.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menekankan pentingnya UMS memainkan peranan aktif dalam menyemak dan membaiki sebarang isu dalaman di kampus, seperti kebocoran atau kerosakan saluran paip dalaman, agar usaha penyelesaian lebih menyeluruh.
“Jika bekalan air dari luar sudah stabil tetapi ada masalah dalaman di kampus, ia tetap akan menjejaskan pelajar dan staf. Oleh itu, saya mahu pihak universiti turut proaktif,” jelasnya.
Beliau turut mengesyorkan supaya mesyuarat berkala diadakan antara UMS dan JANS bagi menyelaras tindakan serta mempercepat respons terhadap sebarang gangguan bekalan.
Dalam masa yang sama, Mustapha mengingatkan semua pihak agar menyelesaikan isu ini secara tertutup dan profesional, tanpa membawanya ke media secara terbuka.
“Isu seperti ini lebih baik diselesaikan dalam bilik mesyuarat, bukan di media. Pendekatan dalaman yang telus dan efisien akan lebih berkesan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua pihak yang terlibat seperti universiti, jabatan kerajaan dan pihak berkepentingan, terus berganding bahu demi memastikan kesejahteraan pelajar dan kakitangan UMS sentiasa terpelihara.