Advertisement

Peranan Wanita Muda Bukan Lagi di Belakang Tabir, Sebaliknya di Barisan Hadapan Perjuangan – Farizatul – Sabah News

SUKAU: Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau, Farizatul Akma menegaskan bahawa wanita muda hari ini tidak lagi berperanan sebagai penyokong di belakang tabir, tetapi telah muncul sebagai pemimpin di barisan hadapan perjuangan politik dan pembangunan masyarakat.

“Ketegasan visi dan keutuhan Pergerakan Beliawanis Sukau memberi isyarat jelas bahawa kita bukan calang-calang gerakan. Kita adalah suara wanita muda yang bukan sahaja bersedia, tetapi sudah bersiap siaga untuk membawa perubahan,” tegas Farizatul dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu beliau telah hadir ke Mesyuarat Tahunan Pergerakan Beliawanis Bahagian Sukau 2025 yang berlangsung di Dewan Chi Hwa dan disertai oleh perwakilan dari seluruh cawangan Beliawanis dalam bahagian tersebut.

Jelasnya lagi, mesyuarat tersebut dilihat bukan sekadar satu rutin tahunan, tetapi menjadi platform penting untuk menyusun langkah, merangka strategi dan memperkukuh solidariti di kalangan wanita muda yang kian menyerlah dalam dunia politik.

“Kehadiran para perwakilan dari seluruh pelosok cawangan mencerminkan semangat kesatuan yang jitu.

“Mereka hadir bukan sekadar mengisi tempat, tetapi membawa suara akar umbi dan aspirasi rakyat yang ingin melihat wanita muda terus maju dalam arena kepimpinan,” katanya.

Katanya lagi, mesyuarat turut menyaksikan tekad bersama Beliawanis untuk terus melangkah jauh dan membina legasi gerakan yang berakar dari semangat perjuangan, dengan komitmen untuk terus menjulang suara wanita muda di setiap ruang demokrasi dan pembangunan.

“Ini bukan pengakhiran, tetapi satu permulaan baharu. Bersama-sama, kita akan melakar sejarah dengan semangat dan iltizam yang tidak pernah luntur,” ujar Farizatul.

Mesyuarat ini menjadi bukti jelas bahawa generasi wanita muda hari ini sudah bersedia menjadi pemain utama dalam memacu masa depan negeri dan negara.