KOTA KINABALU: Seramai 19 pengamal media tempatan dan nasional menerima anugerah negeri sempena ulang tahun rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam dunia kewartawanan.
Mendahului senarai penerima ialah wartawan kanan veteran, Emin Madi, yang dikurniakan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran ‘Datuk’. Turut menerima PGDK ialah Senator Anna Bell Perian, Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah.
Ketua Wartawan See Hua Daily News, Yong Ted Phen, pula menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK).
Enam lagi pengamal media dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (ADK), antaranya Nancy Lai dari The Borneo Post Sabah, Fadzli Ramli dari Bernama Sabah, Julia Chan dari Malay Mail, Jason Santos dari The Vibes, Assim Mohamad Hassan dari Astro Awani, serta Marutin Ansiung dari Daily Express.
Sementara itu, 11 penerima lain dikurniakan Bintang Setia Kinabalu (BSK), termasuk Jenne John Lajiun, Stephanie Lee, Sherell Ann Jeffrey, Larry Ralon, Wong Chian Kyun, Normimie Diun, Abdul Hafiz Mustadi, Salmariwaya Sali, Diana Dominic, serta jurugambar Azman Jumat dan Zamain Singkui.
Penganugerahan ini menzahirkan penghargaan negeri terhadap komitmen berterusan pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih dan memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah.
Dalam era digital mahupun konvensional, media kekal menjadi nadi penyebaran maklumat yang pantas dan tepat, berteraskan nilai ketelusan, tanggungjawab dan integriti.