KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat ( PGRS) Usukan, Datuk Japlin Akim menyayakan ketersediaan untuk berdepan dengan sesiapa sahaja jika diberi mandat untuk mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan.
Japlin berkata beliau bersedia menggalas tanggungjawab itu walaupun berdepan dengan Datuk Seri Salleh Said daripada Barisan Nasional (BN).
“Insya-Allah jika diberi peluang jadi calon untuk kawasan Usukan (saya) bersedia. Kita sentiasa bekerja keras bersama rakyat… turun padang ke akar umbi bersama mereka.
“Sebenarnya, pada saya siapa yang kita bertembung bukan masalah dan cabaran utama.
“Cabaran sebenar ialah bagaimana kita berusaha menyantuni rakyat di kawasan…memenangi sokongan mereka,” katanya.
Beliau berkata semasa ditemui pemberita di sini semalam.
Japlin berkata, DUN Usukan boleh ditingkatkan dengan memperhebat sektor pertanian yang mampu membantu menjana pendapatan penduduk setempat.
Beliau turut berpandangan, jika terpaksa, GRS cukup kuat untuk bergerak secara solo dan hanya akan mengumumkan kerjasama selepas keputusan pilihan raya.
“Saya tengok GRS dari segi penerimaan sudah diterima rakyat. Malah ahli keluarga dalam GRS ini besar ada lapan parti didalamnya.
“Kita yakin dan percaya setiap parti komponen mempunyai kelebihan tersendiri selain kita boleh gerak solo jika terpaksa,” katanya.