KUALA LUMPUR – Individu yang dipercayai berpakaian seperti pegawai risikan didakwa menyimbah asid pada kenderaan aktivitis mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 kelmarin.
Sekretariat Himpun mendakwa kejadian itu berlaku di kawasan parkir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan disaksikan sendiri oleh rakan aktivis yang melibat kelibat beberapa lelaki mencurigakan melarikan diri dari tempat kejadian.
Selain itu, dakwa sektretariat tersebut, seorang anggota yang tidak mahu mendedahkan statusnya menarik seorang peserta perhimpunan hingga menyebabkan rasa tidak selamat.
Malah, katanya, hebahan maklumat salah oleh media tertentu terhadap perhimpunan ini jelas menunjukkan banyak intimidasi terhadap pelajar dan penganjur.
Sekretariat Himpun yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan khianat dan ganas terhadap aktivis mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan tersebut menuntut siasatan segera dan bebas dilakukan.
“Tindakan ini satu bentuk intimidasi terhadap suara mahasiswa yang berani membongkar isu rasuah, berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman seperti yang dijaman oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ia turut menuntut perlindungan diberikan kepada semua aktivis dan penganjur Gempur Rasuah Sabah 2.0, selain komitmen pihak berkuasa menjamin keselamatan ruang demokrasi khususnya kebebasan mahasiswa bersuara.
“Sekretariat Himpun memandang serius insiden ini dan menyeru polis untuk menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Kegagalan pihak berkuasa bertindak hanya akan menormalisasi budaya ganas terhadap aktivitisme dan menyemarakkan lagi budaya impunitas terhadap pelaku,” ujarnya