LAHAD DATU: Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Lahad Datu berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 45 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes curi dalam bangunan di sebuah pasar raya di daerah ini.
Menurut laporan IPD Lahad Datu, pada 21 Jun 2025, jam lebih kurang 8.40 malam, mangsa seorang wanita tempatan berusia 30 tahun menyedari telefon bimbit miliknya hilang semasa berada di sebuah pasar raya, Lahad Datu.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu telah menahan suspek di tepi jalan lorong I-Peak, Jalan Tengah Nipah pada 23 Jun 2025 jam 8.15 malam.
“Turut dirampas dalam tangkapan tersebut ialah telefon bimbit milik mangsa bersama pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan lanjut.