TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat ) Bahagian N.68 Apas kini giat memperkemas gerak kerja dan menyelaras kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Bahagian Apas merangkap Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bahagian yang diadakan malam tadi.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut disertai barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Bahagian serta pimpinan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Apas.
“Mesyuarat ini bertujuan memperkukuh struktur organisasi dan mengoptimumkan kesiapsiagaan seluruh jentera parti bagi memastikan kita benar-benar bersedia menghadapi PRN17 demi kemenangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Apas,” katanya.
Nizam menegaskan bahawa Bahagian Apas komited untuk menggalas tanggungjawab serta amanah rakyat, di samping meneruskan agenda pembangunan yang mampan dan inklusif.
Beliau turut menyeru seluruh ahli parti agar terus bersatu hati dan mengekalkan semangat perjuangan demi mempertahankan kepentingan rakyat di kawasan Apas.
Mesyuarat khas itu menjadi antara langkah awal PGRS Apas memperkukuh kesiapsiagaan strategik sebagai sebahagian daripada persiapan menyeluruh parti menjelang PRN17 yang bakal menjadi medan penting menentukan hala tuju negeri Sabah.