PENAMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan Kampung Dabak, Penampang, akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat, kira-kira dua jam selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.22 petang, memaklumkan kehilangan seorang kanak-kanak di kawasan kediamannya.
“Keluarga menyedari kehilangan mangsa sekitar jam 6 petang dan telah menjalankan pencarian di sekitar rumah namun gagal menemui mangsa,” kata Komander Operasi PBK II Bonney Yong Tze Yap.
Seramai 8 anggota bomba, bersama Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan operasi SAR di kawasan kampung berkenaan.
Pada jam 8.05 malam, pasukan menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut ditemui orang awam di sebuah kedai runcit, kira-kira 2.2 kilometer dari rumahnya.
Pasukan bomba dan polis kemudian mengiringi keluarga ke lokasi berkenaan untuk mengenalpasti dan menjemput mangsa. Kanak-kanak tersebut dijumpai dalam keadaan selamat dan dihantar pulang ke rumah oleh ahli keluarganya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.31 malam selepas disahkan tiada lagi risiko atau bahaya.
JBPM Negeri Sabah mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu memberikan maklumat tepat dan pantas yang menyumbang kepada kejayaan misi pencarian ini.