Advertisement

Sejumlah besar wang tunai ditemui di pejabat JANS milik orang lain – Ag Mohd Tahir

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memberitahu mahkamah bahawa sejumlah besar wang yang ditemui di pejabatnya semasa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2016 adalah milik orang lain.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib berkata wang tersebut sudah berada di pejabat itu ketika beliau mula bertugas.

“Sebahagian besar wang di ‘pantry’ itu bukanlah milik saya. Wang itu memang sudah ada di situ semasa saya mula masuk ke pejabat tersebut. Tapi selepas itu dari semasa ke semasa saya ada simpan duit saya sendiri sebab adik saya kadang-kadang datang untuk meminta sumbangan politik. Adik saya adalah Bendahari Umno.

“Saya anggarkan sekitar RM20 juta memang sudah ada di ‘pantry’ itu selebihnya adalah lebih kurang RM3 juta adalah milik saya sendiri,” katanya.

Ag Tahir memberi keterangan itu di hadapan hakim Abu Bakar Manat ketika perbicaraan pembelaan bersambung hari ini.

Mengenai tanda “Go Away” pada pintu yang terletak di sebelah tingkap di dinding bahagian belakang meja di pejabat beliau, Ag Tahir menjelaskan: “Sejak saya masuk di bilik pejabat pengarah, tanda itu memang memang sudah sedia ada.”

Sebelum ini, dilaporkan sejumlah besar wang ditemui di dalam sebuah bilik yang mempunyai tanda “Go Away” pada pintu di pejabat bekas pengarah JANS.

Menjawab satu soalan ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, beliau tidak bersetuju bahawa beliau satu-satunya individu yang memegang kunci ‘pantry’ tersebut.

Mahadi: Dalam bilik pantry itu ada barang milik orang lain?
Ag Tahir: Ada

Mahadi: Boleh ceritakan apa milik orang lain? Apa yang dimaksudkan?
Ag Tahir: Sejumlah wang yang besar

Mahadi: Pada sepanjang masa ketika pengeledahan, kamu ada di bilik pejabat kamu dan menyaksikan proses pengeledahan tersebut.
Ag Tahir: Saya hanya duduk disitu tetapi tidak menyaksikan

Menjawab soalan lain, Ag Tahir memberi keterangan bahawa beliau tidak tahu isterinya, Fauziah mempunyai 19 akaun bank dan beliau juga tidak tahu jumlah wang dalam akaun-akaun tersebut mencecah RM2.2 juta.

Ag Tahir turut tidak bersetuju bahawa selain wang tunai berjuta ringgit, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga didakwa menemui 900 barangan yang merupakan barang kemas.

Seterusnya, Ag Mohd Tahir menyatakan beliau tidak tahu bahawa nilai semua barang kemas itu berjumlah RM1.7 juta pada tahun 2016, dan pada tahun 2023 seorang saksi pakar telah memberi keterangan bahawa nilainya telah meningkat kepada RM4.1 juta.

Turut dibicarakan bersama Ag Tahir, 63, ialah isterinya Fauziah Piut, 60, dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng, 66.

Ketiga-tiga mereka menghadapi 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim turut mengendalikan perbicaraan ini.

Ag Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Datuk Ansari Abdullah dan Erveana Ansari, manakala Lim dibela oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh, dan Kelvin Wong.

Perbicaraan akan bersambung pada 23 Julai.