Advertisement

Tolak Politik Kebencian, Anak Muda Diseru Tidak Mudah Terpengaruh Propaganda ‘Selamatkan Sabah’ – Sabah News

PUTATAN: Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Petagas, Dayang Nur Aqilah Hazmi, menggesa anak muda Sabah agar menolak budaya politik kebencian dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda gerakan tertentu seperti ‘Selamatkan Sabah’ yang menurutnya hanya bertujuan memecahbelahkan perpaduan rakyat negeri ini.

Aqilah menegaskan bahawa sudah tiba masanya rakyat Sabah, khususnya golongan belia, berfikir secara rasional dan bijaksana dalam menilai hala tuju politik negeri ini.

“Sudah-sudahlah kita berpecah belah. Untuk adik-adik yang baru mengenal politik, jangan terpedaya dengan anasir ‘Selamatkan Sabah’ yang sibuk membakar gambar pemimpin dan menyebar slogan kebencian,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Perasmian Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Petagas di sini, baru-baru ini.

Aqilah menyatakan bahawa rakyat harus menilai secara adil prestasi kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi dasar Sabah Maju Jaya.

“Masalah air yang kita hadapi hari ini adalah warisan daripada kerajaan dahulu. Tapi kerajaan sekarang telah membina Loji UWSS Kasigui yang mampu hasilkan sehingga 2.5 juta liter air – ini usaha untuk masa depan,” katanya.

Beliau turut menyelar pihak yang hanya tahu mengkritik tanpa menghargai pencapaian kerajaan, termasuk pemberian bantuan insurans rakyat, perumahan mampu milik, komputer riba untuk pelajar, serta subsidi penerbangan pelajar Sabah di Semenanjung.

“Banyak sudah bantuan kerajaan sampaikan. Tapi berapa ramai yang tahu atau mahu tahu? Kita kena adil dalam menilai,” tambahnya.

Aqilah turut mengingatkan bahawa perubahan tidak berlaku sekelip mata, dan menyeru rakyat agar memberikan peluang kepada GRS sebagaimana peluang pernah diberi kepada kerajaan terdahulu.

Dalam nada optimis, beliau menzahirkan harapan besar agar lahir lebih ramai pemimpin muda yang segar, berwibawa dan dekat dengan rakyat, khususnya dari kawasan Petagas.

“Kami mahu pemimpin yang bukan hanya lantang, tetapi yang mampu melaksanakan idea, menjadi pelaksana kepada pelan Sabah Maju Jaya,” katanya lagi.

Dayang Nur Aqilah juga membandingkan aspirasi Sabah dengan kemajuan politik Sarawak, dan menyeru agar rakyat Sabah lebih bersedia mendukung kepimpinan tempatan yang berasaskan agenda pembangunan dan perpaduan.

“Kita mahu macam Sarawak, kita mahu negeri kita dipimpin oleh parti tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat,” ujarnya.