Advertisement

Albert Tei dan Dua ADUN Sabah Mengaku Tidak Bersalah – Sabah News

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan rasuah membabitkan perolehan lesen perlombongan mineral mineral di negeri ini.

Datuk Albert Tei, individu yang didakwa memberi rasuah, serta Datuk Yusof Yacob (ADUN Sindumin) dan Datuk Muhammad Andi Suryady Bandy (ADUN Tanjung Batu) yang didakwa menerima rasuah, masing-masing menafikan pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, Albert didakwa di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, iaitu memberi suapan kepada dua wakil rakyat tersebut.

Manakala Yusof dan Andi didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta sama atas kesalahan menerima wang sogokan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM60,000 dengan deposit RM15,000 terhadap Albert, manakala Yusof dan Andi masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan deposit RM10,000.

Albert Tei diwakili oleh peguam Edward Paul, Bartholomew Jingulam dan Jul Hamrie Jumhani.

Sementara itu, kedua-dua ADUN tersebut diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai Datuk Ram Singh, Datuk Rizwandean Bukhary dan Shahlan Jufri.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Rustam Sanip, Nurul Izzati Sapifee serta Rekhraj Singh

Mahkamah menetapkan 5 Ogos 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan Albert didakwa memberi sogokan sejumlah RM350,000 kepada kedua-dua ADUN terbabit, RM200,000 kepada Yusof dan RM150,000 kepada Andi sebagai balasan atas sokongan berkaitan lesen perlombongan di Sabah.