TAWAU: Seorang wanita di Kampung Haji Matahir tampil membuat laporan polis selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga, apabila dia dipukul dan diugut dengan senjata tajam oleh suaminya dalam satu insiden yang berlaku baru-baru ini.
Menurut kenyataan pihak polis, kejadian bermula daripada salah faham antara pasangan berkenaan, namun pertelingkahan itu bertukar menjadi ganas apabila si suami bertindak memukul mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
“Mangsa turut diugut dengan kata-kata ancaman dan diacukan senjata tajam, dipercayai sebilah kapak dan pisau.
“Bimbang akan keselamatannya, wanita tersebut segera membuat laporan di Balai Polis Bombalai. Bertindak atas aduan itu, sepasukan polis telah menjalankan operasi dan berjaya mengesan suspek, seorang lelaki tempatan berusia sekitar 44 tahun.
“Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan dengan anggota kami,” kata SM Fredolen dalam kenyataan media.
Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas sebilah kapak dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.
Suspek kini ditahan di balai polis untuk siasatan lanjut, manakala barang rampasan turut dijadikan bahan bukti.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Susulan insiden ini, pihak polis menyeru masyarakat agar tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan konflik rumah tangga.
Pasangan suami isteri disarankan mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau kaunselor berdaftar bagi menangani isu secara bijaksana dan berhemah.
“Tindakan kekerasan bukan penyelesaian. Ia hanya memburukkan keadaan dan boleh membawa kepada tindakan undang-undang,” tegas SM Fredolen.
Pihak berkuasa memberi jaminan akan terus memantau dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk keganasan rumah tangga demi melindungi keselamatan dan hak mangsa.