KOTA KINABALU, SABAH – “Saya ikan bilis, tapi saya pula yang dituduh. Jerung-jerung besar masih bebas,” demikian luahan seorang ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, selepas hadir di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan skandal lesen perlombongan mineral di Sabah.
Albert menzahirkan rasa kesal serta persoalan terbuka terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menurutnya telah bertindak tidak adil terhadap dirinya walaupun beliau merupakan pemberi maklumat utama dalam kes tersebut.
“Saya pengadu, pemberi maklumat rasmi, whistleblower. Tapi saya pula yang dituduh? Kenapa hanya dua orang yang didakwa, sedangkan ada lagi tujuh YB lain termasuk Ketua Menteri sendiri? Bukti sudah saya serah kepada SPRM sejak lama,” katanya.
Albert menyifatkan dirinya sebagai “ikan bilis” dalam skandal besar ini, tetapi merasa hairan kerana dia menjadi antara individu terawal dituduh walaupun terdapat nama-nama lebih besar yang masih belum dikenakan tindakan.
“Adakah dua orang yang dituduh ini hanya kerana ‘kabel’ mereka tidak kuat? Kenapa hanya kami? Mana jerung-jerung lain?” soalnya.
Beliau menegaskan tidak gentar berhadapan dengan mahkamah dan menyifatkan pendakwaan terhadapnya sebagai usaha untuk menekan dan menutup mulutnya sebagai pendedah maklumat.